Seni bahasa yang tidak lapuk dek zaman

Orang Melayu mempunyai banyak keistimewaan yang tersendiri. Bahasa Melayu diperindah dengan adanya pepatah Melayu yang menggambarkan pelbagai tingkah dan ragam manusia. Ianya dizahirkan dengan gaya bahasa yang berbunga-bunga, berlapik dan penuh dengan sopan dan santun.

Dikumpulkan di laman ini sebahagian pepatah yang biasa di dengar dan digunapakai oleh masyarakat pada masa kini. Semoga ia bermanfaat buat pembaca.

Yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.

Erti : Mengharapkan sesuatu yang belum tentu dapat, barang yang ada dihabiskan atau dibuang.

Contoh : Mendengar khabar bahawa dia akan mendapat pulangan yang lebih lumayan melalui pembelian sahamnya, Rahim telah mengelurakan semua wang simpanan dan melaburkannya. Namun dia sebenarnya telah ditipu umpama yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.

Ulat dalam batu pun dapat hidup.

Erti : Orang yang rajin berusaha takkan mati kelaparan.

Contoh : ‘Tak payahlah kamu bersusah payah merantau keluar Negara semata-mata untuk mencari pekerjaan kerana di sini pun masih boleh mendapat rezeki kerana ulat dalam batu pun dapat hidup,’ kata ayah kepada abang.

Takkan pisang berbuah dua kali.

Erti : Tidak akan mengulangi kesilapan yang telah dilakukan.

Contoh : Ahmad berjanji untuk belajar bersungguh-sungguh dalam pelajaran matematik bagi menghadapi peperiksaan akhir tahun. Dia telah gagal beberapa kali dalam setiap ujian dan kali ini dia bertekad bahawa takkan pisang berbuah dua kali.